Monday, November 9, 2015

Hentikan serbuan ke atas premis jual vape: KJ






KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia harus menghentikan buat sementara waktu serbuan ke atas premis menjual cecair perisa rokok elektronik (vape) sehingga jawatankuasa yang ditubuhkan bagi menyelesaikan isu berkaitan membuat keputusan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata tindakan kementerian berkenaan menyerbu premis menjual cecair berperisa untuk rokok elektronik (vape) baru-baru ini sebagai terburu-buru.

"Sekarang Kementerian Kesihatan sudah mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas.

"Jadi kita berharap sehingga jawatankuasa ini bermesyuarat dan buat keputusan jangan diteruskan rampasan terhadap kedai," katanya selepas menyaksikan pusingan akhir Kejohanan Debat Kebangsaan Antara Universiti Malaysia 2015 di sini hari ini.

Hari ini Menteri Kesihatan, Datuk Dr S Subramaniam mengumumkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan rokok elektronik yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy berkata, jika rampasan hendak dilakukan, kementerian berkenaan perlu mengadakan perbincangan dengan pengusaha terlebih dahulu bagi menerangkan sebab serbuan itu dibuat.

Menurutnya, dia tidak bermaksud untuk menggalakkan orang ramai khususnya golongan belia menghisap rokok elektronik, tetapi secara peribadi merasakan penjualan cecair berkenaan seharusnya tidak diharamkan sebaliknya diwujudkan satu kawal selia yang lebih jelas untuk penjualannya.

"Mereka sudah membuat pelaburan yang besar tiba-tiba segala stok dirampas, ini menyusahkan mereka. Untuk kepentingan umum kita faham ini isu kesihatan tetapi kita minta ada kawal selia.

"Saya harap Kementerian Kesihatan akan membuat peraturan secepat mungkin ini supaya semua orang faham dan jelas dari segi peraturan contohnya sebanyak mana nikotin boleh diletakkan.

"Jadi pengusaha vape jelas apa yang boleh dan tidak boleh dibuat. Selagi mereka patuh undang-undang maka mereka tidak boleh diserbu," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...